...........

Wednesday, April 04, 2012

kata mereka yang aalim .

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang Melayu tidak terlalu memberi tumpuan pada soal adat dan budaya sehingga menyusahkan urusan perkahwinan termasuk "terpaksa berhutang."

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai 'gangguan' budaya Melayu.

“Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin 'cincin besi'.

“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.

Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.

"Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.

"Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.

Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.

"Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik 'mak bapak' mereka.

"Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan Allah di akhirat nanti," katanya.

Thursday, March 29, 2012

Hukum Nyanyian Dan Hiburan

Islam bukanlah satu agama yang mengharamkan segala bentuk kegembiraan dan hiburan dalam hidup manusia. Allah Yang Maha Mencipta mengetahui bahawa manusia melalui dalam hidup mereka berbagai suasana dan keadaan. Ada kala manusia perlukan hiburan atau perlu dihiburkan. Hiburan wujud dalam berbagai bentuk. Islam datang bukan untuk mengharamkan, tetapi untuk member garis panduan.

1. Tumpuan hidup insan bukan kepada hiburan, tetapi kepada mengabdikan diri kepada Allah. Hiburan dan nyanyian hanya sampingan yang menghiasi rempah ratus kehidupan dan asam garamnya, bukannya tujuan asal kehidupan. Seperti juga memiliki rumah dan kenderaan yang cantik. Ia bukan tujuan hidup, tetapi termasuk dalam perkara-perkara yang diizinkan dengan batasannya.

2. Dalam hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi s.a.w yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membenteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abu Bakr ditolak oleh Nabi s.a.w secara berhikmah.

Ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak menolak dakwaan Abu Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh.

Sebabnya, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?!
apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr. Suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan!.

3. Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah r.a. bahawa

“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”.

Maka, dalam hadis ini menunjukkan Nabi s.a.w prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis-majlis yang bertujuan untuk kegembiraan dan kesukaan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau pejabat dan seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diistiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang biasanya dilakukan secara senyap-senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang menafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai Nyanyian

Maka menjadi sunnah ketika majlis perkahwinan adanya hiburan seperti pukulan kompang dan suara nyanyian. Maka apa yang diamalkan dalam tradisi melayu ketika perkahwinan diadakan pukulan kompang dan nyanyian adalah tidak becanggah dengan ajaran Nabi s.a.w.

4. Dalam riwayat Muslim, Anas bin Malik menceritakan bahawa Nabi s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang akan menyanyi ketika dalam dalam perjalanan. Nama beliau Anjasyah. Kata Anas:

“Bahawa Rasulullah s.a.w mempunyai seorang pemandu unta yang mempunyai suara yang lunak. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Perlahan wahai Anjasyah! Jangan pecahkan kaca (wanita-wanita)” (Riwayat Muslim).

Ulama hadis berbeza pendapat tentang maksud Nabi s.a.w dalam hadis ini. Namun, maksud yang dipaling dapat difahami ialah baginda meminta agar Anjasyah memperlahan lagunya kerana ia telah menyebabkan unta semakin pantas, sedangkan wanita-wanita iaitu isteri-isteri baginda mungkin tidak termampu bergerak sepantas itu.
Ini menunjukkan bagaimana baginda tidak melarang nyanyian, sebaliknya menggunakannya untuk menggalakkan perjalanan. Cumanya, apabila menyebabkan kesusahan wanita, baginda meminta agar ia perlahankan

5. Dalam hadis lain, ‘Aishah menceritakan

:“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Demikian Nabi s.a.w member ruang untuk isterinya menikmati hiburan.

6. Ada sesetengah pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ terutama sebahagian mereka yang beraliran salafis yang menghadkan hiburan hanya pada hari raya sahaja atau dengan bentuk kompang tertentu sahaja. Mereka memahami hadis-hadis ini secara literal.

Pandangan ini boleh menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam. Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan. Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

7. Namun, sudah pasti di sana ada batasan yang mesti dipatuhi dalam setiap perkara. Hiburan juga ada disiplin dan batasannya. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:

“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat tidurku seperti engkau duduk. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut. Lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mereka juga tidak dilarang oleh Nabi s.a.w. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang salah atau bercanggahan dengan kebenaran maka ia ditegur oleh Nabi s.a.w. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.

Maka, lirik-lirik nyanyian hendaklah dipastikan tidak menyanggahi syarak seperti bercanggah dengan akidah yang sahih, atau mengajak kepada maksiat, atau membohongi fakta dan seumpamanya. Demikian juga jika ia diiringi dengan perbuatan yang haram, maka hiburan dalam bentuk seperti itu diharamkan.

8. Seorang muslim hendaklah melihat keluasan syarak ini sekalipun dia secara individu mungkin tidak menggemarinya. Mungkin seseorang yang kuat agama itu tidak gemarkan nyanyian, tapi tidak bererti mesti diharamkan terhadap orang lain. Sebaliknya, hendaklah dia amanah dalam memberitahu keluasan syarak dalam hal ini.

9. Di samping tidak wajar hidup ini disibukkan dengan hiburan sehingga melupai tujuan hidup yang sebenar. Hiburan hanya diambil dengan kadarnya sahaja, jangan dijadikan tumpuan hidup. Jika dijadikan tumpuan sehingga melupai tanggungjawab Islam, maka hiburan itu akan membawa kepada dosa dan maksiat kepada Allah.

MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?


Semoga kita semua selalu dibimbing Allah ke jalanNya yang lurus. 


1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.

2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa.

Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.

4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu.

Namun, 
kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.

5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.

Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.

Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.

7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).

Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.

8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:

“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).

9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)

“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).

Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
sumber : kedamaian islam .